KUCHING, 14 April: Eksperimen prototaip menggunakan kaedah graviti bagi menghasilkan tenaga diperbaharui akan dilakukan di Stumbin, Sri Aman, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, kaedah berkenaan akan menggunakan air sungai yang dipam ke sebuah tangki sebelum dilepaskan bagi menggerakkan turbin bagi menjana tenaga elektrik.
“Ini adalah baharu. Belum lagi digunakan di tempat lain. Ini adalah prototaip kerana sebenarnya apa yang kita perlu ialah tekanan air,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini, hari ini.
Mengenai kaedah menggunakan gelombang air atau ombak, Abang Johari berkata ia adalah teknologi baharu dan hanya ada di Shanghai, China.
Menurutnya, gelombang dari air ini digunakan untuk mengeluarkan tenaga dan ia sudah dicuba di Samalaju, empat kilometer di laut.
“Ini adalah prototaip juga. Ini bermakna saya sudah mempelbagaikan sumber tenaga iaitu hijau selain daripada yang ada sekarang ini termasuk solar dan biomass.
“Kalau ini berjaya macam saya buat hidrogen, ia akan mengubah pengeluaran tenaga kita,” ujarnya. -TVS