Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penduduk Palestin melihat asap berkepul-kepul semasa pengeboman Israel di kawasan pasar Firas di Bandar Gaza pada 11 April. Foto AFP

Malaysia kecam serangan rejim Israel semasa Aidilfitri

ByBernama

KUALA LUMPUR, 12 April: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh rejim Israel yang menyasarkan rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian Shati di utara Gaza, terutamanya semasa rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Khamis, Malaysia akan terus menentang dengan teguh tindakan keganasan dan genosida yang jelas dijalankan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Tindakan kejam oleh rejim Israel ini jelas menunjukkan kebencian dan ini bertentangan dengan simbol sambutan perayaan ini iaitu prinsip kemanusiaan, keamanan dan belas kasihan.

“Serangan ini juga akan menjejaskan rundingan gencatan senjata dan usaha-usaha mencari penyelesaian yang damai terhadap konflik ini dan mempersoalkan niat Israel, jika ada, untuk mencari penyelesaian yang damai terhadap konflik ini,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kekejaman dan bencana manusia di Gaza, serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan tersebut.

“Komuniti antarabangsa tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan kekejaman ini berterusan, kerana lebih banyak nyawa yang tidak berdosa akan terkorban disebabkan oleh rejim yang tidak mempunyai rasa keadilan, kemanusiaan atau moral,” katanya.

Wisma Putra berkata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Mahkamah Antarabangsa Keadilan (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) harus memenuhi tanggungjawab mereka.

Ia berkata, UNSC perlu mempertimbangkan penubuhan tribunal jenayah antarabangsa untuk mendakwa dan membawa ke muka pengadilan mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah sedemikian.

Malaysia berpegang teguh prinsip bahawa rakyat Palestin layak mencapai penubuhan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan