KUCHING, 12 April: Langit Citadines bakal menjadi mercu tanda baharu di Bandar Raya Kuching melalui kolaborasi syarikat konglomerat hartanah Hock Seng Lee (HSL) dengan sebuah syarikat dari Singapura Ascott Limited (Ascott) untuk menjayakan pembinaan dan pembangunan projek berkenaan.
Pengarah Urusan HSL, Datuk Paul Yu Chee Hoe berkata, Langit Citadines bakal menjadi bangunan dua menara dengan 27 tingkat, menara satu akan menempatkan 64 kondominium mewah oleh HSL, manakala menara dua akan mempunyai 213 bilik hotel Citadines.
“Dua tingkat ‘clubhouse’ akan menghubungkan kedua-dua menara di aras 10 dan 18, satu untuk penghuni kondominium manakala satu lagi bagi tetamu hotel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mercu tanda baharu tersebut direka mengikut standard bangunan hijau yang mempamerkan aspirasi jenama bagi HSL dan Ascott.
“Langit Citadines terletak di Jalan Tabuan merupakan kawasan perniagaan utama, pelancongan dan pusat membeli-belah.
“Melalui gabungan rangkaian Ascott, Langit Citadines yang baharu ini menawarkan keselesaan
sebuah kediaman khidmat, digabung dengan keanjalan sebuah hotel. Projek ini akan meletakkan Kuching di peta dunia, ketika berlaku peningkatan pelancongan dalam negeri,” ujarnya.
Beliau berkata, Langit Citadines memenuhi dan melangkaui garis panduan ketat Kerajaan Sarawak bagi kompleks komersial yang tinggi.
“Ia akan memasukkan beberapa teknologi bagi kecekapan dan mempunyai kemudahan gaya hidup yang menakjubkan.Projek Langit berwawasan HSL bermula pada 2021 dengan satu pertandingan seni bina seluruh negara.
“Ia merupakan yang pertama seumpamanya diadakan di Sarawak dan menarik 112 penyertaan global,” jelasnya.
Katanya, daripada pemenang, HSL dan Ascott – sebuah unit perniagaan tempat penginapan yang dimiliki sepenuhnya oleh CapitaLand Investment di Singapura – sama-sama memajukan Langit Citadines, bertujuan untuk membawa pelancongan dan kehidupan mewah ke tahap baharu bagi Malaysia Timur.
“Pembinaan projek bermula tahun ini, dan tarikh siap dijangkakan dalam tempoh dua setengah hingga tiga tahun,” tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Wilayah Ascott Malaysia, Mondi Mecja, memaklumkan syarikat itu teruja tentang projek tersebut yang dapat menjadi standard jenama bagi Citadines di Malaysia.
Katanya, pihaknya berasa bertuah untuk bekerjasama dengan HSL dalam pembangunan baharu ini, HSL merupakan pakar pembinaan yang utama dan inovatif di Malaysia Timur, dan pertandingan Langit merekalah yang telah menarik Ascott kepada projek ini.
“Ia adalah unik bagi pemaju hartanah untuk memulakan sesebuah projek dengan satu pertandingan terbuka, dan itulah perkara yang kami sangat suka tentang Langit. Bukannya setiap hari kita mendapatkan sebuah projek istimewa yang sudah pun memenangi anugerah.
“Langit Citadines Kuching merupakan salah satu projek kami yang paling mengujakan di rantau ini. Dengan prospek pelancongan yang cerah di Sarawak, Langit Citadines Kuching dijangka melambangkan komitmen jenama ini untuk menyediakan tetamu dengan kehidupan terbaik di Bandar Raya Kuching, seraya memberi inspirasi kepada mereka untuk hidup, bekerja dan bermain dalam pelbagai cara,” tambahnya. – TVS