KUCHING, 11 April: Hari kedua Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Kedua Aidilfitri 2024 anjuran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang terus dibanjiri ribuan pengunjung.
Berlangsung penuh meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), rakyat berbilang kaum yang hadir menterjemahkan erti perpaduan erat sudah lama berakar umbi di Bumi Kenyalang.
Usahawan muda, Mohamad Abdul Qayyum Mohamad Abdul Rahman, 32, berkata menghadiri rumah terbuka anjuran Premier Sarawak merupakan acara wajib baginya saban tahun.

“Di sini juga saya akan bertemu dengan rakan yang sudah lama tidak bersua,” katanya yang hadir dengan lengkap berbusana Melayu termasuk memakai tengkolok dan tanjak.
Dalam pada itu, seorang warga emas, Muhammad Nawawi Muhammad Kobil, 80, sanggup menunggang motosikal dari Kampung Tunku ke BCCK sejak pagi demi merasai suasana raya bersama Premier Sarawak.
“Saya datang pada hari ini kerana semalam tidak berkesempatan berbuat demikian,” katanya.
Tambah Muhammad Nawawi, program rumah terbuka seperti ini sangat baik untuk mengeratkan hubungan antara kaum.
“Mengenai rumah terbuka ini, kita dapat melihat kesepaduan rakyat Sarawak sambil berada di samping pemimpin yang amat mementingkan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.
Dianggarkan sekitar 10,000 rakyat pelbagai kaum datang bertandang ke hari raya rumah terbuka Premier Sarawak hari ini. – TVS