KUCHING, 10 April: Mesyuarat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan berlangsung hujung bulan ini bagi memastikan kelancaran penganjurannya di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mesyuarat pada 30 April depan akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta akan dihadiri oleh semua exco sukan negeri.
“Dalam mesyuarat itu kita akan membentangkan sekiranya ada masalah. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula akan memaklumkan mengenai bajet, peruntukan dan sebagainya.
“Setakat ini (persiapan Sarawak) berjalan baik,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Berkenaan peruntukan untuk menganjurkan sukan itu pula, Abdul Karim berkata, Sarawak tidak memohon jumlah secara spesifik namun berharap hasil menerusi mesyuarat itu kelak, KBS dapat memberi pembiayaan bagi meringankan beban tuan rumah.
Pada masa sama, Abdul Karim turut memaklumkan persiapan atlet Sarawak setakat ini berjalan lancar namun beliau menasihatkan mereka agar sentiasa berhati-hati latihan.
“Semalam salah seorang pelumba basikal wanita yang menjadi harapan Sarawak telah terjatuh dan mengalami kecederaan di pipi dan patah tulang kelangka.
“Jadi saya harap atlet lain supaya lebih berhati-hati, kita tidak mahu mereka alami kecederaan dan sebagainya,” katanya lagi. -TVS