KUCHING, 10 April: Kerajaan Persekutuan diminta segera memperkenal undang-undang perdagangan karbon bagi memastikan industri itu yang dipelopori Sarawak terus berkembang maju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini beliau difahamkan Putrajaya bersetuju untuk mengguna pakai perundangan Sarawak dalam bidang berkenaan di peringkat persekutuan.
“Saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Sarawak tidak boleh melakukannya sendiri (kerana) ia mesti menjadi dasar negara.
“Saya juga dimaklumkan oleh Timbalan Premier (Sarawak) Datuk Amar Douglas Uggah Embas bahawa satu perundangan akan diperkenalkan dengan menerapkan perundangan yang dibuat oleh Sarawak,” katanya.
Abang Johari bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjurannya di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCKK) di sini hari ini.
Menekankan lebih lanjut kepentingan perundangan itu di peringkat pusat, Abang Johari berkata, gesaan supaya perkara itu dipercepatkan ialah kerana perdagangan karbon melibatkan perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
“(Dalam soal ini) Sarawak tidak boleh bertindak sendiri kerana masih lagi tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Baru-baru ini, Singapura dan Indonesia telah menandatangani perjanjian dalam hal berkaitan pemerangkapan dan penyimpanan karbon.
“Sarawak tidak boleh bertindak sendiri tanpa sokongan kerajaan pusat,” tambah beliau.
Pada November tahun lepas, Sarawak menjadi wilayah pertama di Malaysia yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.
RUU itu antara lain bertujuan untuk mengurangkan perubahan iklim dan membuka jalan bagi Sarawak memperoleh sumber pendapatan baharu melalui perdagangan karbon. – TVS