KUCHING, 10 April: Asas perpaduan kukuh dinikmati di sini perlu dipertahankan untuk menyokong usaha Sarawak menjadi wilayah terkuat di Malaysia, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran beliau di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) menjadi bukti apabila dihadiri oleh rakyat pelbagai kaum.
“Hari ini tetamu pelbagai kaum membuktikan perpaduan kita dan perlu dipertahankan kerana di tempat lain banyak sentimen dimainkan oleh pihak tertentu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Lebih 13,000 rakyat berbilang kaum meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Abang Johari
Turut hadir, tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Sementara itu wakil Kerajaan Persekutuan yang hadir termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta anggota Kabinet Kerajaan Sarawak.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, perpaduan di Sarawak itu boleh disifatkan sebagai ciri-ciri semula jadi di Bumi Kenyalang.
“Bagi saya ini budaya dan warisan kita malah bukanlah perkara baharu kerana pada Hari Gawai dan baru-baru ini ketika sambutan Tahun Baharu Cina, suasana seperti ini juga dapat dilihat,” katanya.
Ditanya sama ada jumlah tetamu pada tahun ini lebih ramai berbanding tahun lepas, Abang Johari berkata, berdasarkan pemerhatian beliau majlis anjurannya kali ini mendapat sambutan cukup memberangsangkan.
“Nampak yang hadir lebih ramai berbanding tahun lepas malah pelbagai kaum ada,” katanya. – TVS