KUCHING, 10 April: Mesyuarat berkenaan usaha mewujudkan perundangan karbon di Malaysia akan diadakan selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, ujar Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu perkara itu disegerakan.
“Insya- Allah, saya akan mempengerusikan satu mesyuarat koordinasi yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan mengenai bagaimana kita dapat percepatkan pengenalan undang-undang berkaitan bukan saja tenaga boleh diperbaharui malahan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tambah Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, perkara ini telah dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tenaga Negara baru-baru ini.
Sementara itu Fadillah berkata, Kerajaan Persekutuan mengambil maklum yang Sarawak sudah berada di hadapan dalam aspek perundangan, peraturan dan sistem dalam perdagangan karbon namun situasi sebaliknya di peringkat pusat.
“Oleh itu kita hendak panggil mesyuarat ini supaya dapat selaraskan undang-undang yang sudah wujud di Sarawak sebagai asas untuk kita bangunkan undang-undang sama di peringkat persekutuan,” katanya. -TVS.