KUCHING, 10 April: Lebih 13,000 rakyat pelbagai kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Seawal 9 pagi, orang ramai mula berbaris di pintu masuk BCCK bagi menanti majlis bermula pada 10 pagi.
Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Kartiny berkata, saban tahun dia tidak akan melepaskan peluang menghadiri rumah terbuka anjuran pemimpin Sarawak.
“Saya bersyukur kerana dapat hadir bersuama suami yang juga orang kurang upaya (OKU).
“Boleh dikatakan hampir setahun datang, meriah kerana pelbagai kaum termasuk Cina, Iban, Bidayuh hadir, semua bercampur,” katanya kepada TVS.
Bagi pencipta kandungan, Herbert Ngo, 38, dia teruja kerana berkesempatan menambah lebih ramai rakan baharu pada majlis rumah terbuka ini.
Sementara itu, Baun Imang, 60, hadir dengan pakaian tradisi Kenyah bersama dengan lebih 100 orang dari Sungai Asap, Belaga, Bintulu.
Katanya, mereka datang ke Kuching untuk merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya bersyukur dapat datang beraya di sini. Terima kasih dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang beragama Islam,” katanya. – TVS