KUCHING, 9 April: Kegiatan ‘Geng Ah Long’ yang aktif mencuri kenderaan sejak tahun 2020 tumpas dengan tertangkapnya lima suspek warga tempatan berusia antara 17 hingga 41 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Polis (DSP) Jaimi Husin berkata pihaknya percaya tangkapan itu telah menyelesaikan empat kes curi kenderaan termasuk di luar daerah Kota Samarahan yang dipercayai bertujuan untuk dijual ke negara jiran.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kesemua kenderaan curi berkenaan akan dieksport untuk dijual ke negara jiran.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek turut mempunyai keterangan suspek-suspek ini terlibat dalam kegiatan curi kenderaan di tiga daerah lain antaranya Kuching, Simunjan dan Bintulu.
“Selepas siasatan IPD Kota Samarahan selesai, kesemua suspek akan di serahkan kepada daerah terbabit untuk menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya semasa sesi sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan di Kota Samarahan pada Selasa.
Beliau berkata, semalam yang dilakukan terhadap suspek mendapati kesemua mereka mempunyai 11 rekod lampau dengan salah seorang daripada dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Melaka.
Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas semua suspek turut mendapati dua daripadanya positif penyalahgunaan dadah.
Kes terbabit kini disiasat dibawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 1 tahun dan tidak lebih 7 tahun dan boleh juga dikenakan denda. -TVS