Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak bakal perkenal sub undang-undang baharu berkaitan industri nyah karbon

ByRegina Lee

KUCHING, 9 April: Kerajaan Sarawak bakal memperkenalkan beberapa sub undang-undang baharu berkaitan nyah karbon bagi memacu usaha aktiviti berkenaan setelah menjadi negeri pertama di Malaysia yang meluluskan penggubalan tersebut pada 2023.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni meyakini, Sarawak layak sebagai negeri contoh yang cemerlang dalam pertumbuhan industri hijau serta pembangunan mampan dengan adanya kepimpinan yang kukuh, pelaburan strategik dan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan.

Menurutnya, Sarawak dan rantau Asia Tenggara komited untuk memajukan dasar iklim dan mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

“Berdasarkan kemajuan ini, Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mewujudkan, antara lain, mekanisme penetapan harga karbon, strategi peralihan tenaga, platform pengurusan karbon digital, levi karbon, ekonomi hidrogen, metana, minyak bio, teknologi kecekapan angin dan tenaga luar pesisir.

“Tindakan ini sejajar dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

“Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil peranan utama dalam memacu usaha penyahkarbonan di seluruh negara, dengan sumber tenaga yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Dr Hazland menambah, Sarawak juga merintis inovasi dalam biobahan api berasaskan alga, sebagai alternatif hijau kepada bahan api fosil.

Jelasnya, negeri ini mempunyai liputan hutan terbesar di Malaysia yang bertindak sebagai penyerap karbon kritikal.

“Untuk melindungi ekosistem berharga ini, kita melabur dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti penanaman semula hutan, sambil mengawal ketat industri seperti minyak sawit.

“Pentas benua Sarawak yang luas menawarkan kapasiti penyimpanan karbon yang besar, dengan pembangunan projek Kawasari CCS luar pesisir bersedia untuk menangkap berjuta-juta tan CO2 setahun.

“Dengan melindungi dan meningkatkan modal semula jadi kita, Sarawak berhasrat untuk menjadi penyerap karbon bersih,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat global, terutamanya negara maju yang paling bertanggungjawab terhadap krisis iklim, untuk bekerjasama melalui kewangan iklim yang teguh, pembinaan kapasiti dan perkongsian pengetahuan dalam menjamin masa depan generasi akan datang.

Untuk rekod, Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 pada tahun lepas bertujuan untuk mengawal pelepasan gas rumah hijau, menggalakkan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon serta mencapai pelepasan sifar menjelang 2050.

Ia mewajibkan perniagaan untuk menyerahkan laporan tentang pelepasan karbon dan menetapkan had pelepasan dengan penalti bagi ketidakpatuhan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan