SIBU, 8 April: Menjelang Aidilfitri, tukang jahit merupakan golongan yang paling sibuk kerana menerima banyak tempahan baju raya.
Ada yang terpaksa menolak kerana bimbang tidak sempat menyiapkan baju pelanggan pada masa yang ditetapkan.
Resepi 23 tahun kuih batang buruk Aida sering dicari menjelang Aidilfitri
Namun bagi Anijah Abdul Hadi yang menjalankan perniagaan menjahit baju di Jalan Satria, di sini, tiada istilah ‘tolak’ tempahan pelanggan.
“Saya tidak menetapkan masau ntuk menutup tempahan,” kata pemilik kedai Hanie Enterprise ketika ditemui TVS baru – baru ini.
Jelas Anijah, tempahan masih boleh dibuat pada musim perayaan malah kebanyakan tempahan baju raya sudah siap.
“Apabila semua baju telah diambil oleh pelanggan, saya akan membuka semula tempahan kerana terdapat permintaan untuk majlis perkahwinan dan pelbagai acara lain selepas raya.
“Ini bermakna kami akan menerima tempahan selagi permintaan berterusan,” katanya.
Bagi musim Aidilfitri kali ini Anijah berkata, dia telah menerima sebanyak 40 tempahan.
Mengenai kesibukan menjelang raya Anijah berkata, dia sangat bersyukur kerana mempunyai kakitangan yang cekap dan berjaya menyiapkan tempahan tepat pada masanya.
“Memandangkan mereka merupakan pelajar saya, jadi masing – masing sudah faham corak kerja saya.
“Rehat dan tidur kena cukup kerana kita perlukan tenaga untuk bekerja,” katanya.
Ditanya mengenai warna popular pada musim perayaan tahun ini, Anijah memberitahu kebanyakan pelanggannya menghantar kain berwarna oren bata dan warna nude untuk dijahit menjadi baju.
Dalam pada itu, Anijah turut berkongsi cabarannya sebagai seorang tukang jahit apabila pelanggan membatalkan pesanan atau mengubah rekaan pada saat akhir.
“Ini sudah menjadi asam garam namun saya perlu positif menghadapinya,” katanya.
Selain menjalankan perniagaan kedai jahit dan mempunyai butik, Anijah yang berkecimpung dalam bidang jahitan selama 23 tahun juga merupakan guru jahitan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Anijah berharap dapat mengembangkan lagi perniagaannya.
“Ini supaya saya dapat membuka peluang pekerjaan kepada suri rumah yang berminat untuk menjadi tukang jahit,” tambahnya. -TVS