MUKAH, 8 April: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah pikap di Jalan Saai- Semop, malam tadi.
Insiden kira -kira jam 7.50 malam itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang berusia 47 dan 42 tahun dari Kampung Penipah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Neil Baginda berkata, kejadian berlaku ketika pikap terbabit dalam perjalanan menghala dari Sibu menghala ke Daro.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah motosikal yang dinaiki mangsa tiba -tiba dipercayai masuk ke laluan pikap. Kedua -duanya dari Daro menghala ke Semop,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu katanya, mangsa penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Daro akibat kecederaan parah yang dialami mereka.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana penunggang motosikal tersebut gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. -TVS