KUCHING, 8 April: Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru semua pihak agar berhenti mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh mencetuskan polemik perkauman.
Pada masa sama, beliau menjelaskan kementeriannya tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan bagi menangani isu atau polemik 3R.
“Hanya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi boleh mengambil tindakan terhadap pesalah melalui Akta Hasutan, Akta Mesin dan Cetak, Akta Polis, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Walaupun Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tiada kuasa namun kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Aaron Ago kementerian melalui JPNIN juga sedang melaksanakan mekanisme bagi menguruskan isu perpaduan antaranya pengurusan dan pemantauan di peringkat akar umbi melalui Sistem E-Sepakat.
Katanya, sistem ini merupakan mekanisme dalaman JPNIN bertujuan untuk gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu perpaduan secara digital bagi menggantikan kaedah manual.
“Penggunaan sistem ini melibatkan peranan pengguna (user) dalam kalangan Pegawai Perpaduan di daerah, negeri dan ibu pejabat secara menyeluruh,” jelasnya.
Jelasnya lanjut, mekanisme kedua ialah Dashboard Analitik Perpaduan bertujuan menyokong sistem E-Sepakat dalam meningkatkan lagi kecekapan gerak kerja pengurusan isu keharmonian masyarakat melalui pemetaan (mapping) kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dan panas yang mampu mengganggu gugat keharmonian antara kaum dan agama.
Pada masa yang sama juga, ia membantu menambah baik pemantauan tahap dan iklim perhubungan antara kaum yang bertindak sebagai sistem amaran awal terhadap sesuatu isu atau konflik yang dilaporkan dalam Sistem E-sepakat melalui analisis jangkaan, tambahnya.
Tambahnya lagi, Mediator Komuniti pula bertindak sebagai pendamai masyarakat.
Mekanisme ketiga ini katanya, memberi tumpuan kepada mengurus kes-kes pertikaian di peringkat komuniti khususnya dalam hal-hal yang melibatkan jiran tetangga.
“Kementerian mempunyai seramai 562 orang Mediator Komuniti bertauliah dan terlatih yang bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat secara percuma,” jelasnya.
Manakala mekanisme terakhir ialah Jawatankuasa Keharmonian antara penganut agama (JK HARMONI) yang terdiri daripada pemimpin agama-agama di Malaysia.
Menurut Aaron, penubuhan jawatankuasa tersebut bertujuan memantapkan iklim perhubungan yang baik dalam kalangan pemimpin serta penganut pelbagai agama berteraskan semangat saling hormat menghormati dan bekerjasama di semua peringkat. -TVS