KUCHING, 7 April: Garis panduan istito’ah yang telah diperkenalkan bukanlah penghalang kepada bakal jemaah haji untuk menunaikan Rukum Islam kelima itu sebaliknya tersimpul hikmah yang perlu difahami dan diterima dengan hati yang terbuka.
Pembimbing Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Dr Syed Abdul Aziz Wan Hamid Edruce berkata, umat Islam di Malaysia perlu memahami konsep berkenaan sebelum menunaikan ibadah haji.
Kata beliau ini kerana kebanyakan bakal jemaah haji merupakan mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“(Apa yang) menjadi kekhuatiran (mungkin) bakal jemaah haji akan berdepan banyak rintangan dan cabaran yang melibatkan sudut kewangan, kesihatan dan lain -lain.
“Inilah situasi semasa menunaikan ibadah haji pada zaman sekarang, apabila pengalaman mereka yang berada di Tanah Suci, ada baiknya istito’ah ini diketatkan serta dijadikan garis panduan,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Dr Syed Abdul Aziz yang juga merupakan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Tabung Haji Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 2007-2023 turut menjelaskan istito’ah bukan sekadar mengenai kemampuan kewangan malah meliputi pelbagai aspek lain seperti bekalan, kenderaan dan keselamatan perjalanan ke Makkah.
“Kos perkhidmatan di Tanah Suci semakin tinggi dan kita perlu bersedia, kalau wang hanya sekadar mencukupi dan keluarga yang ditinggalkan di tanah air tidak ada bekalan makanan, maka ini menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada kemampuan menunaikan ibadah haji,”ujarnya lagi.
Oleh itu jelas beliau istito’ah menjadi salah satu syarat wajib bagi menunaikan ibadat haji.
“Allah sebut dalam surah Ali Imran ayat 97, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya, haji ini tidak seperti ibadat yang lain, ia memerlukan kemampuan fizikal, mental, kewangan untuk melaksanakan ibadah haji untuk membolehkan seseorang itu mencapai haji yang sempurna,” tambahnya.
Justeru masyarakat Islam di Malaysia diingatkan supaya meneliti semua istilah jemputan menunaikan haji.
“Kalau sampai jemputan itu, saya yakin tuan-tuan dan puan-puan pasti akan menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun tersebut,” katanya lagi. -TVS