Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Keluarga Abdul Rahman Othman dari Kampung Lintang, Kuching masih meneruskan tradisi bertuntong dengan menggunakan lampu LED. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

Idea kreatif Abdul Rahman bertuntong gamit pelancong singgah di Kampung Lintang

ByMuqri Aziz

KUCHING, 7 April: Tradisi bertuntong telah lama menjadi amalan orang Melayu di Sarawak setiap kali menjelang Aidilfitri.

Bertuntong merujuk kepada aktiviti menghiasi halaman rumah dengan pelita minyak tanah pada malam tujuh likur bagi membangkitkan mood perayaan.

Seiring peredaran zaman, amalan itu juga ‘disapa’ elemen inovasi terutamanya membabitkan peralatan yang digunakan.

Seorang pesara, Abdul Rahman Othman, 66, berkata, dia nekad untuk meneruskan tradisi yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu di kediamannya di Kampung Lintang, dekat sini.

Apa yang berbeza jelas beliau, penggunaan pelita minyak tanah untuk bertuntong sudah tidak ketara memandangkan masyarakat beralih kepada lampu diod pemancar cahaya (LED).

“Dahulu kita gunakan lampu pelita jenis bersangkut yang dinyalakan dengan minyak gas.

“Kini susah hendak cari lampu itu, ditambah pula dengan harga minyak yang semakin mahal, ramai yang pilih lampu LED bagi mengurangkan kos,” katanya kepada TVS baru – baru ini.

Pada tahun ini Abdul Rahman menggunakan lebih 40 lampu LED bagi menghiasi laman rumahnya supaya berseri menyambut malam Hari Raya Aidilfitri.

Hasil kreativiti itu juga menjadi tumpuan orang ramai kerana kediamannya sering menerima kehadiran tetamu yang ingin merakam foto dan video halaman rumahnya.

“Saya sangat gembira apabila orang luar datang untuk melihat kami bertuntong. Sebab itu saya sanggup mengeluarkan belanja yang agak besar.

“Bila lihat orang datang dan mengambil gambar rumah, saya pun rasa sangat puas hati dan gembira,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, pelancong dari Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia antara yang pernah singgah.

Sehubungan itu, bagi mengangkat dan mengekalkan tradisi bertuntong, Abdul Rahman berharap ia diteruskan oleh generasi kini agar ia tidak hilang ditelan zaman.

Bukan hanya mengharapkan generasi muda sahaja kata beliau malah pemimpin tempatan juga perlu memainkan peranan masing – masing.

“Bayangkan kalau kita masih mengekalkan tradisi bertuntong ini, sudah tentu ia boleh menjadi tarikan pelancong yang mahu merasai sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak.

“Saya sudah melaksanakan tanggungjawab, sudah tiba masanya generasi muda pula teruskan tradisi ini.

“Kalau hendak lebih meriah, kita bawa wakil rakyat turut serta supaya suasana Aidilfitri itu dapat dirasai oleh setiap penduduk kampung,” katanya.

Abdul Rahman memberi contoh Sambutan Hari Kebangsaan yang mempunyai temanya pada setiap tahun juga oleh diterapkan dalam tradisi bertuntong. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan