KUCHING,6 April: Jeti konkrit yang sedang dibina di Kampung Sourabaya Hilir berdekatan Surau Al-Kornia di sini dijangka siap sepenuhnya sekitar suku ketiga tahun ini.
Khabar baik itu menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, amat penting kepada penduduk setempat ekoran ia membolehkan mereka menyertai program Old Kuching Smart Heritage Agenda (OKSHE).
Beliau optimis program tersebut akan menarik pelancong dari kawasan Kuching Golden Triangle untuk datang berkunjung ke kampung berkenaan.
“Jambatan konkrit ini penting untuk kita masuk dalam program apa yang disebut sebagai OKSHE yang salah satunya membawa pelancong daripada kawasan golden triangle, mereka nak datang ke kampung kita, mereka menggunakan jeti ini.
“Mereka akan berjalan melihat apa yang ada di kampung-kampung kita empat kampung ini dan kampung boyan Kita ada jeti plooton Ada juga disebut sebagai Boyan playwalk yang menghubungi boyan dengan kawasan dataran Ibu pertiwi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas program Ihsan Ramadhan di Surau Al-Kornia Kampung Sourabaya Hilir di Kuching pada Sabtu.
Dr Abdul Rahman dalam pada itu turut memaklumkan bahawa projek pembinaan Pentas Warisan Kampung Sourabaya Hilir hampir 95 peratus siap dan boleh digunakan dalam jangka masa dua minggu lagi.
Katanya, projek itu yang bernilai RM200,000 diharap mampu digunakan untuk majlis ramah tamah sempena sambutan Syawal minggu hadapan.
Jelasnya, kontraktor projek juga telah dimaklumkan berkenaan perkara tersebut agar kerja-kerja pembinaan pentas warisan tersebut dapat dipercepatkan.
- “Saya telah maklumkan kepada pihak kontraktor supaya ia nya dapat digunakan untuk kegunaan majlis ramah tamah di kawasan kampung BGS dalam sedikit masa lagi,” katanya. -TVS