KUCHING, 5 April: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat tiada sekatan masuk perlu dikenakan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh hanya kerana menyatakan pendapat berbeza.
Menurutnya, masyarakat di negara ini bebas bersuara dan menyatakan pendapat masing-masing seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan bersuara.
Sekiranya kedatangan mereka bertujuan untuk menghasut, menimbulkan kekacauan dan melaga-lagakan rakyat terhadap kerajaan maka kemasukan mereka ke negeri ini harus dihalang, tegasnya.
“Secara peribadi saya katakan, Sarawak benarkan kemasukan melainkan anda telah melakukan kesalahan serius yang mengganggu keharmonian di negeri ini, seperti menghasut kumpulan etnik atau masyarakat yang berbilang agama.
“Sekiranya anda hanya sekadar memberikan pandangan, maka kita harus berhati-hati, Perlembagaan Malaysia membenarkan kebebasan bersuara tetapi anda harus tahu batasnya, jangan sampai mengajak orang lain untuk berburuk sangka, di situlah undang-undang akan dipraktikkan,” katanya.
Pada satu sidang media di sini, hari ini beliau diminta mengulas mengenai kelantangan Akmal mengulas isu stoking yang memaparkan perkataan Allah di sebuah KK Mart di Bandar Sunway yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Terdahulu, aktivis Sarawak dan Sabah menuntut negeri itu mengenakan sekatan ke atas Akmal dengan dakwaan dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum dan agama.