KUCHING, 5 April: Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) berperanan penting dalam menentukan aspek ketelusan diterapkan di dalam sistem pentadbiran yang melibatkan organisasi kerajaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi memastikan sistem itu berkesan perkara yang mesti dititikberatkan ialah pematuhan.
“Sebab itu kita di Sarawak menubuhkan Rang Undang-undang Ombudsman Sarawak 2023 bagi menyokong sistem sedia ada yang bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima Sijil ABMS, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni.
Abang Johari menjelaskan, RECODA memperoleh Pensijilan ABMS bagi penyediaan Perkhidmatan Pengurusan Projek untuk projek dibiayai kerajaan Sarawak pada Disember 2023 selepas memulakan proses pensijilannya sebagai sebahagian daripada projek perintis pada 2021.
“Antara agensi lain yang terlibat seperti Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak serta Sarawak Forestry Corporation,” jelasnya.
Selain itu, RECODA telah mencapai persijilan MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) pada Disember 2023.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni memberitahu, sejak penubuhannya pada tahun 2008, RECODA terus teguh menegakkan integriti dan dibuktikan melalui penubuhan unit khusus seperti unit integriti, audit dalaman dan unit risiko.
“Pada tahun 2021 kami telah melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 untuk tempoh lima tahun.
“Diikuti penubuhan Jawatankuasa Anti Rasuah RECODA serta menganjurkan bengkel pengurusan risiko rasuah,” katanya. – TVS