KUCHING, 5 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai bacaan khatam al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Agensi-agensi Islam Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Beliau selaku pembaca pertama membaca surah Ad-Dhuha diikuti 21 pembaca khatam lain terdiri daripada tetamu kehormat.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazruddin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Abu Bakar Marzuki dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.
Dianjurkan Majlis Islam Sarawak (MIS), majlis itu dihadiri kira-kira 500 orang, terdiri daripada warga kerja agensi-agensi Islam Sarawak termasuk Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sarawak dan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak.
Selepas berbuka puasa, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM18,000 kepada 120 orang saudara baharu.
Majlis diakhiri dengan solat tarawih dan witir berjemaah pimpinan Imam Besar Sarawak Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi sebelum menikmati juadah moreh. – TVS