MIRI, 5 April: Dua puluh lapan penghuni daripada enam pintu rumah panjang di Long Belok, Apoh, Baram kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata semua mangsa daripada lapan keluarga itu selamat dalam kebakaran rumah panjang terdiri daripada 105 pintu.
“Tindakan operasi pemadaman tidak dilakukan kerana kebakaran telah padam sepenuhnya. Pihak Bomba mengambil maklumat mangsa kejadian.
“Bomba Marudi turut membantu Bahagian Penyiasatan Kebakaran Zon Miri menjalankan siasatan di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kebakaran berlaku pada 3 pagi. Selepas menerima maklumat, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Marudi digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba terpaksa menempuh perjalanan yang jauh ke lokasi kejadian dan menggunakan jalan balak. Lokasi kejadian juga tidak ada liputan telekomunikasi.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.