LUBOK ANTU, 4 April: Seorang penumpang terkorban apabila tercampak dan dihempap kenderaan pikap yang dinaikinya bersama dua lagi mangsa dalam kemalangan di simpang Lubok Antu, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pikap yang dinaiki mangsa, wanita dikenali sebagai Rotela Angela Roger hilang kawalan sebelum terbabas ke arah bertentangan sebelum terbalik ke dalam longkang.
“Pasukan bomba menggunakan khidmat kereta tunda bagi mengalih kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang dihempap kenderaan tersebut.
“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.40 malam dan menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong.
Pemandu, Phil Y.buan Nyalu dan seorang lagi penumpang, Ricardo Jinggau cedera dalam kemalangan itu.
Dua mangsa itu dibawa ambulans ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.