PAKAN, 4 April: Pelaksanaan projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Ulu Kota Pakan dan Ulu Paku Betong kini, berjalan lancar dan mendahului jadual.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kewujudan jalan itu bakal melonjak potensi Pakan sebagai pengeluar hasil petanian dan pelancongan.
Malah katanya, laluan baharu itu tidak hanya memendekkan jarak perjalanan di antara Betong, Pakan dan Sarikei sebaliknya berupaya memacu pertumbuhan ekonomi penduduk kedua-dua kawasan.
“Saya difahamkan, projek ini beberapa bulan lalu empat peratus mendahului jadual dan sekarang mungkin lebih daripada itu.
“Pelaksanaan projek ini sekali gus membuktikan kerajaan tidak bercakap kosong sebaliknya, tetap komited dalam usahanya menyediakan prasarana terbaik untuk rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak gerai hasil pertanian di Simpang Nanga Pedanum di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mawan juga menggesa agensi bertanggungjawab agar terus melakukan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2027 itu berjalan sempurna.
“Saya juga yakin projek pembinaan jalan sepanjang 20 kilometer yang memiliki laluan susur Lebuhraya Pan Borneo ini bakal membawa kesan besar terhadap pembangunan Pakan dalam tempoh jangka panjang.
“Selain itu kerajaan juga terus melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi memastikan peniaga kecil dan golongan petani daerah ini berpeluang menjana pendapatan daripada usaha yang dilaksanakan ini.
Yang penting ujar beliau, semua pihak perlu memberikan kerjasama dan sokongan supaya setiap agenda pembangunan yang dirancang menjadi kenyataan. – TVS