GEORGE TOWN, 3 April: Seorang remaja berusia 15 tahun yang menggunakan sebuah motosikal curi sejak kira-kira tiga bulan lalu diberkas polis di Bayan Lepas dekat sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek ditahan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya selepas perbuatan suspek itu dikesan oleh Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi motosikal dilaporkan hilang pada Januari lalu.
“Siasatan lanjut turut mendapati dia terlibat dalam tiga kes kecurian motosikal di Teluk Kumbar dan Bayan Lepas sejak 9 Januari lalu.
“Antara motosikal yang dicuri adalah jenis Yamaha Y15ZR dan Ego Avantis, manakala dia mengaku mencuri motosikal itu untuk kegunaan sendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – TVS