KUCHING, 3 April: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan sebanyak RM70,000 kepada mangsa insiden kebakaran di Kampung Haji Baki yang berlaku pada 22 Mac lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan tersebut diberikan untuk pembinaan rumah baharu mengikut kuantum atau bahagian yang telah ditetapkan JKM.
Katanya, antara bantuan lain RM34,100 juga disalurkan di bawah bantuan bencana JKMS termasuk makanan, pakaian harian, seragam dan peralatan sekolah, kelengkapan tidur, peralatan dapur serta bantuan bahan binaan.
“Bantuan yang diberikan mengikut bilangan ahli keluarga dan umur mangsa terutamanya ahli keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang bersekolah, bantuan yang diberi merupakan pakaian seragam dan peralatan sekolah.
“Manakala bagi rumah yang 100 peratus hangus, sebanyak RM70, 000 diberikan kepada mangsa kebakaran dan bantuan tersebut akan ditadbir urus oleh Pejabat Residen Kuching.
“Saya bersyukur kerana perkara itu telah diurus dengan baik dan pihak mereka telah melawat Jabatan Tanah dan Survei untuk mendapatkan keterangan pemilik tanah,” katanya ditemui semasa majlis penyerahan bantuan di Dewan Komuniti Kampung Haji Baki di sini, hari ini.
Pada 3 April, empat rumah terbakar 100 peratus manakala empat lagi terjejas sebahagian.
Dalam pada itu, selain bantuan pembinaan rumah, Fatimah mendedahkan bahawa pihak kerajaan negeri juga telah memberikan bantuan dari segi permohonan kelulusan bagi skim sewa beli unit kediaman di bawah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak.
“Buat sementara waktu, saya juga telah menerangkan kepada mangsa kebakaran bahawa tempoh pembinaan rumah baharu itu akan mengambil jangka masa yang agak lama.
“Oleh hal yang demikian, ADUN Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang telah berurusan dengan HDC di Landeh di mana terdapat lima unit disediakan untuk tujuan disewa bagi mangsa kebakaran yang menumpang dengan ahli keluarga atau saudara mara terdekat,” ujarnya lagi.
Jelas Fatimah lagi, duit sewa akan disubsidi oleh kerajaan sebanyak RM200 manakala RM50 dibayar oleh pihak penyewa.
Tambahnya lagi, pelan rumah baharu pula telah diluluskan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).