KOTA SAMARAHAN, 3 April: Isu kesesakan lalu lintas di simpang masuk ke pasar raya Farley, Bandar Riyal di sini telah diutarakan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Pengarah Farley, Eiyen Lau berkata adalah menjadi sebahagian tanggungjawab pihaknya untuk memastikan keselesaan para pengunjung pasar raya dan pengguna jalan raya diutamakan.
“Cadangan yang lebih efektif telah disuarakan kepada pihak MPKS bagi melegakan situasi tersebut.
“Farley boleh bekerjasama dengan MPKS dan agensi kerajaan untuk menjadikan Bandar Riyal satu pusat komersial yang selesa dan selamat untuk mereka yang membeli-belah di sini,” katanya berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Yayasan Farley pada Selasa.
Menurutnya, dalam usaha menyumbang kepada komuniti, Farley turut menjaga landskap dan kebersihan di sekeliling kawasan Bandar Riyal dengan menanggung semua kos pokok bunga dan penyelenggaraan untuk menceriakan suasana.
“Pondok polis turut dibina dan dijaga untuk menjamin keselamatan orang ramai di samping dapat mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di sekitar Bandar Riyal,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Farley menyantuni 30 anak-anak yatim dari enam sekolah, SK Jalan Muara Tuang, SK Merdang, SK Pengkalan Kuap, SMK Kota Samarahan, SMK Pasentren Abdul Taib Mahmud dan SMK Muara Tuang.
Inisiatif ini adalah antara cara Farley menyumbang kepada komuniti bagi menghargai sokongan diberikan terhadap perniagaan mereka.
“Semoga sumbangan ini dapat membantu dari segi memberikan kasih sayang supaya mereka juga dapat membimbing masyarakat pada satu hari nanti,” katanya.