KUALA LUMPUR, 3 April: Pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan sebanyak 26,108 lesen peniagaan berikutan kesalahan pelanggaran syarat, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh yang menjawab bagi pihak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pembatalan itu bagi tempoh 2022 hingga tahun ini.
Jelas beliau keputusan berkenaan dibuat hasil 2,031 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing.
“PBT komited melaksanakan operasi penguatkuasaan dengan melaksanakan pemantauan secara berkala ke atas premis-premis perniagaan dan penjaja di kawasan PBT terutamanya yang menjadi tumpuan warga asing.
“(PBT juga) menyita dan merampas barangan penjaja warga asing yang didapati menjalankan perniagaan secara haram serta menjalankan operasi bersepadu dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Dato Ahmad Ibrahim yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan sejauh manakah kesiapsiagaan PBT untuk membasmi masalah kebanjiran peniaga yang tidak berlesen dalam kalangan PATI yang mencemarkan imej kawasan setempat.
Sementara itu Fuziah berkata, KPKT sentiasa komited untuk bekerjasama dengan kementerian lain untuk menyelesaikan isu penyalahgunaan premis atau lesen perniagaan di kawasan pentadbiran PBT terutamanya yang melibatkan warga asing.
“Kerjasama bersepadu adalah perlu bagi menangani isu yang semakin berleluasa ini berdasarkan kekangan bidang kuasa PBT yang terhad kepada pemeriksaan lesen premis dan perniagaan sahaja.
“Kerajaan negeri turut memainkan peranan dengan memperketatkan syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT di negeri masing-masing bagi mengekang monopoli perniagaan oleh warga asing,” tambahnya.
Jelas beliau, PBT juga tidak pernah membenarkan warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian. -TVS