KUALA LUMPUR, 2 April: Industri hiburan termasuk penganjuran konsert melibatkan artis antarabangsa perlu dihargai kerana ia turut menjana ekonomi negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata penganjuran beberapa konsert melibatkan artis luar negara pada tahun lepas telah memberi pendapatan tinggi kepada negara.
“Jangan disebabkan oleh satu insiden, kita menganggap artis luar negara (berperangai) buruk dan tidak membawa sebarang kebaikan,” katanya pada sesi Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Musoddak Ahmad yang ingin tahu mengenai cadangan penambahbaikan garis panduan hiburan artis Barat di Malaysia oleh Kementerian Komunikasi.
Menjelaskan lebih lanjut, Nie Ching berkata, konsert Coldplay sebagai contoh telah memberikan kutipan cukai sebanyak RM8 juta kepada kerajaan dan impak ekonomi mencecah RM137 juta.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai langkah untuk memastikan insiden buruk melibatkan artis luar tidak berulang, beliau menjelaskan satu garis panduan Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) sedang diperhalusi.
“Garis panduan PUSPAL kini dalam peringkat akhir pindaan dengan mengambil kira isu sensitif.
“Saya berharap penambahbaikan garis panduan PUSPAL dapat menoktahkan insiden seperti tersebut,” katanya lagi. -TVS