IPOH, 1 April: Polis memberkas tiga suspek termasuk pasangan suami isteri semalam selepas disyaki terbabit menawarkan kegiatan perjudian online dan pinjaman wang tanpa lesen yang dipromosikan di bazar Ramadan pekarangan Stadium Perak di sini.
Suspek ditahan selepas polis mengesan satu video tular di media sosial pada Jumaat yang memaparkan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) sedang mengedarkan kad risalah iklan kepada orang ramai di bazar itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek lelaki berusia 54 tahun dan isterinya berumur 43 tahun dari Sitiawan dekat sini yang ditahan merupakan dalang kegiatan tersebut.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki pergi ke bazar Ramadan itu bersama dua lelaki OKU yang diupahnya bagi menyebar dan mempromosikan perniagaan yang dijalankannya sejak 2022 itu.
“Kedua-dua lelaki yang bersama suspek di bazar Ramadan itu merupakan OKU yang dijumpai suspek dan diberikan upah RM30 untuk mengedarkan kad.
“Turut dirampas adalah 120 keping kad tertera tawaran pinjaman wang dan judi atas talian, sebuah kereta, telefon bimbit dan buku catatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Mohd Yusri, semakan terhadap buku catatan mendapati 90 peratus daripada peminjam adalah berketurunan Melayu di sekitar daerah Manjung.
“Suspek mengaku pergi ke bazar Ramadan untuk memperkembangkan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dengan mencari peminjam baharu.
“Suspek juga mengaku perniagaan itu mengenakan bunga yang tinggi dan secara harian,” kata beliau lagi.
Tambahnya, polis turut mengesan dua lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Terdahulu, tular di media sosial satu video memaparkan seorang lelaki menegur suspek lelaki yang sedang mengedarkan kad iklan perjudian online dan pinjaman wang haram di sebuah bazar Ramadan.
Lelaki itu memberitahu suspek dalam bahasa Cina agar segera beredar dari kawasan itu dan berhenti mengedarkan iklan berkenaan. – TVS