KUALA LUMPUR, 1 April: Penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TGSF) berjaya memulihkan sebanyak 88 projek kendalian pemaju swasta sehingga 29 Februari lepas.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Athirah Aiman Sabu berkata, ini bersamaan 10,560 unit perumahan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM8.23 bilion.
Jelas beliau, sebanyak 81 projek juga berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan manakala lima projek yang berstatus sakit pula kembali berjalan lancar dan dua projek terbengkalai telah dipulihkan.
“(Sementara itu) terdapat pengurangan kepada bilangan projek lewat, sakit dan terbengkalai pada bulan sama berbanding statistik sehingga 31 Januari 2024.
“Statistik menunjukkan terdapat sebanyak 230 projek lewat dan 462 projek sakit manakala 115 projek pula telah disahkan sebagai projek terbengkalai. Kesemua projek lewat, sakit dan terbengkalai yang terkini membawa nilai pembangunan kasar sebanyak RM201.75 bilion,” kata pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu beliau memaklumkan, tindakan tegas diambil oleh kementerian terhadap pemaju swasta bukan bertujuan untuk menghukum mereka semata – mata sebaliknya untuk membela nasib pembeli.
“KPST sedia bekerjasama dengan pihak berkepentingan serta sentiasa komited untuk menangani masalah projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara bagi menjayakan agenda utama KPKT ini demi kesejahteraan para pembeli ruman yang terjejas,” katanya
Beliau turut memaklumkan, TFSF juga akan memastikan unjuran projek perumahan swasta sakit berakhir pada Disember 2024 adalah kekal atau kurang daripada sasaran sebanyak 505 projek perumahan sakit. -TVS