KUALA LUMPUR, 1 April: Beberapa langkah yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan telah menunjukkan kesan pemulihan serta- merta terhadap Ringgit.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) mendapati minat pasaran terhadap unit tempatan itu semakin meningkat.
Jelas beliau ini dapat dilihat berdasarkan prestasi Ringgit berbanding sembilan negara serantau yang berada pada kedudukan kedua terbaik sejak langkah – langkah pemulihan dilaksanakan.
“Selain itu kerajaan juga tumpu perbaharui ekonomi (negara) yang secara tidak langsung akan kukuhkan prestasi ekonomi dan Ringgit,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Jelas Amir Hamzah, antara langkah berkenaan termasuklah pemantauan pasaran pertukaran asing dalam negara oleh BNM supaya kekal stabil.
“Selain itu kerajaan juga campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk bendung pergerakan mata wang berlebihan,” katanya.
Kata beliau lagi, BNM juga memantau hasil pertukaran eksport kepada Ringgit oleh syarikat pengeksport dan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan supaya kebergantungan terhadap Dolar Amerika Syarikat (AS) dapat dikurangkan.
Pada masa sama jelas beliau, bank pusat turut mengambil tindakan bersepadu untuk membawa masuk aliran wang dalam pasaran.
Langkah ini dilaksanakan dengan menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa balik pulangan pelaburan asing dan menukar kepada Ringgit.
“Kerajaan turut kawal pelaburan syarikat tempatan di luar negara dan (meminta mereka) mengutamakan pelaburan domestik serta tangguhkan pelaburan luar negara baharu,” katanya.
Sementara itu beliau turut menjelaskan, matlamat utama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dalam menentukan kadar dasar semalaman (OPR) adalah untuk stabilkan harga dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan bukan untuk mengawal kadar pertukaran Ringgit.
“Sekiranya OPR dinaikkan untuk kukuhkan Ringgit, ekonomi negara akan terkesan dengan pelbagai pihak peminjam perlu bayar faedah yang lebih tinggi,” katanya. -TVS.