LIMBANG, 31 Mac: Anggota masyarakat perlu memberi tumpuan khusus terhadap langkah-langkah mencegah kebakaran di rumah menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata sikap berhati-hati dan berwaspada diterapkan dalam diri individu dapat memastikan keselamatan diri dan keluarga lebih terjamin.
Masyarakat juga katanya perlu lebih bertanggungjawab dan bersama mengurangkan risiko kebakaran daripada berlaku terutama ketika sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Kita mesti mempastikan risiko berlakunya bencana ini dapat diminimakan dan untuk aspek penjagaan keselamatan ini bukan saja tertumpu kepada musim perayaan, tetapi perlu dilakukan sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Badudun Sahur Bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata masyarakat juga perlu buat pemeriksaan berkala terutama membabitkan rumah yang sudah agak lama bagi memastikan sistem pendawaian berada dalam keadaan baik.
Tindakan itu katanya bagi mengelakkan berlakunya kejadian litar pintas yang akhirnya menjurus kepada berlakunya kebakaran.
Beliau dalam pada itu turut menasihati orang ramai tidak melakukan pembakaran secara terbuka terutama ketika cuaca panas kerana ia dibimbangi boleh mengakibatkan berlaku bencana kebakaran dalam skala besar. – TVS