KUCHING, 31 Mac: Pendekatan Sarawak dalam membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui diakui berkesan dengan pengiktirafan yang diterima negeri ini di peringkat antarabangsa, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, perkara itu dibuktikan menerusi pemilihan Sarawak Energy sebagai Penaung Global Majlis Tenaga Dunia dengan syarikat itu merupakan yang pertama di rantau Asia Tenggara yang diberi penghormatan menggalas peranan berkenaan.
“Pengeluar tenaga di seluruh dunia termasuk negara Eropah telah mengiktiraf bahawa tenaga yang dikeluarkan oleh Sarawak adalah tenaga yang dikehendaki dalam perubahan iklim.
“Kita mengeluarkan pelbagai tenaga daripada hidro dan gas. Gas ini bukan berbentuk minyak fosil atau arang, ia adalah kategori tenaga baharu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza di Juma’Ani Pavilion di sini, hari ini.
Pemilihan SEB sebagai Penaung Majlis Tenaga Dunia dimeterai baru-baru ini antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili dengan Ketua Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tenaga Dunia, Dr Angela Wilkinson dalam satu majlis yang dianjurkan secara maya.
Menerusi lantikan itu, Sarawak Energy akan menyokong Majlis Tenaga Dunia dalam usaha memangkin peralihan tenaga di serata dunia dengan syarikat milik Kerajaan Sarawak itu turut akan mendapat akses kepada rangkaian majlis yang merangkumi lebih 3,000 organisasi di lebih 90 negara mengenai amalan terbaik berkaitan dasar tenaga.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari memaklumkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) terlibat dalam mengukuhkan tadbir urus dan ekosistem hidrogen negara.
“Kita ada tiga agensi iaitu SEB, SEDC Energy dan Petros. Ketiga-tiganya memainkan peranan masing-masing, misalnya SEDC ialah industri hiliran, manakala SEB pula adalah pengeluaran tenaga seperti hidro yang dikehendaki oleh masyarakat dunia,” jelasnya.
Abang Johari berkata demikian bagi membetulkan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang di Dewan Negara baru-baru ini yang menyatakan Sarawak Energy sebagai pemain industri utama yang akan menyokong Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR). – TVS