KUCHING, 31 Mac: Semua pihak diingatkan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengambil sebarang tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang dalam hantaran di platform X semalam berkata Rukun Negara adalah prinsip asas yang sepatutnya menjadi panduan bagi pembinaan serta pemeliharaan keharmonian di Malaysia.
“Cita-cita dan prinsip-prinsip tersebut perlu dihayati dan dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan bersama dan membangunkan negara yang harmoni.
“Justeru, saya berharap agar semua pihak dapat menyebar luas prinsip asas integrasi nasional iaitu faham, hormat dan terima yang merupakan prinsip asas dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia,” katanya seperti dilapor Bernama.
Mengulas mengenai insiden melempar bom petrol oleh di kedai KK Mart Sungai Isap, Kuantan beliau berkata tidak ada tempat bagi keganasan dalam masyarakat Malaysia.
“Setiap individu yang terlibat dalam tindakan sedemikian perlu dihadapkan kepada keadilan yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang negara, tetapi juga mengancam ketenteraman dan keamanan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang perkara serta berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan polemik perkauman dan menggugat sensitiviti masyarakat berbilang bangsa,” ujarnya.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian negara dengan tidak melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.
Beliau berharap agar semua pihak dapat menghayati prinsip ‘faham’, ‘hormat’ dan ‘terima’ dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia.
“Kementerian Perpaduan Negara terus melaksanakan program-program intervensi di kawasan berisiko tinggi bagi mengukuh dan menyatupadukan rakyat Malaysia.
“Saya percaya bahawa solidariti dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia akan menjadi benteng utama menangani ancaman terhadap perpaduan dan keharmonian negara.
“Keamanan negara dan perpaduan rakyat adalah tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh kita semua,” katanya.