KUCHING, 31 Mac: Lebih banyak syarikat swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) digalak tampil menyalurkan bantuan dan sumbangan bagi menggerakkan program kebajikan di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dengan itu sumbangan dapat diatur dan disalurkan secara lebih berpusat dan sistematik kepada yang golongan memerlukan.
“Kita menggalakkan juga supaya mereka tahu bahawa mereka boleh dikenakan cukai pengecualian. Mereka boleh memohon untuk pengecualian ini.
“Kita juga telah menyerahkan sijil kepada hampir 30 rakan strategik di Putrajaya,” katanya kepada pemberita ketika sidang media Program Sinar Kasih Ramadan YKN di sini, hari ini.
Mengulas mengenai saluran bantuan, program yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) YKN ini katanya, ia tidak hanya diadakan ketika bulan Ramadan.
“Selain golongan asnaf dan Program Back to School, kami juga mengagihkan bantuan barangan seperti kipas baharu, tilam, penghawa dingin dan sebagainya.
“Melalui penglibatan rakan strategik dalam YKN ini juga kami amat menghargainya kerana penglibatan mereka memudahkan dan mepercepatkan lagi bantuan yang disalurkan kepada golongan yang memerlukan contohnya penukaran barangan seperti penghawa dingin yang berkualiti,” katanya lagi.
Beliau dalam masa sama berterima kasih kepada pihak media dalam menjayakan promosi program yang mampu menarik orang ramai mengenai kewujudan dan penyebaran program itu.
Program yang dilaksanakan KPWKM dengan kerjasama rakan strategik YKN dan Alliance Islamic Bank Berhad ini telah menyumbang sejumlah RM35,000 bagi penajaan.
Program hari ini menghimpunkan seramai 100 orang kanak-kanak dari keluarga asnaf yang datang dari kawasan Demak Laut dan Pantai Damai yang telah dibawa ke pasaraya Mydin untuk memilih sendiri pakaian raya mereka. – TVS