KUCHING, 31 Mac: Aplikasi e-dompet milik Kerajaan Sarawak, S Pay Global (SPG) yang dikendalikan serta diselenggara oleh pasukan pembangunan tempatan itu dijamin mempunyai keselamatan siber yang teguh dalam melindungi data pengguna.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata data yang disimpan di dalam SPG adalah selamat dan data tersebut dijamin tidak dikongsikan dengan pihak ketiga atau rakan kongsi teknologi lain.

“Adalah penting untuk saya tekankan bahawa kesemua infrastruktur dan data berkaitan dengan S Pay Global dihoskan di pusat data di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Julaihi berkata kerjasama antara SiliconNet Technologies Sdn Bhd (SNT) dan UnionPay hanya menumpukan terhadap penyepaduan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan.
Begitu juga kerjasama bersama Jiguang JPush SDK yang hanya menumpukan perkhidmatan pemberitahuan (push notification).
Menurutnya, pengoperasian aplikasi S Pay Global sentiasa dikawal selia serta menjalani audit berkala bagi memastikan pematuhan kepada keselamatan dan perlindungan data yang dimandatkan oleh mana-mana pihak berkuasa berkaitan.
“Sehubungan itu, pengguna S Pay Global digalakkan untuk terus kekal menggunakan aplikasi itu dengan yakin kerana data yang disimpan adalah selamat dan tidak akan berlakunya kebocoran maklumat,” katanya.