KUALA LUMPUR, 30 Mac: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru pihak berkuasa meningkatkan risikan dan mengesan sebarang pergerakan operasi Israel terhadap Malaysia ekoran penahanan seorang warga Israel di sini, Rabu lepas.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Malaysia menjadi perhatian Israel kerana pendirian tegas negara terhadap Israel.
“Malaysia tertonjol antara negara yang tegas mengecam Israel dan menggerakkan kempen antarabangsa menyokong Palestin.
“Rakyat Malaysia juga amat aktif menentang Israel termasuk melancarkan boikot ke atas barangan Israel,” katanya menerusi kenyataan yang dilaporkan Bernama, hari ini.
Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan polis sedang menyiasat kemungkinan wujudnya lebih ramai warga tempatan yang bersubahat dengan lelaki Israel, yang disyaki pengintip dan ditangkap di negara ini pada 27 Mac.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata sidang media mungkin diadakan Isnin depan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berhubung kes itu.
“Polis masih menyiasat, butiran lebih lanjut mungkin dikongsi dalam sidang media pada hari Isnin oleh Ketua Polis Negara,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Razarudin berkata lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia menerusi Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis.