KUCHING, 29 Mac: Satu Rangka Kerja Perundangan Komprehensif diperlukan untuk melindungi data yang dikumpul dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dikhuatiri disalah guna oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Pengamal Undang-undang, Shankar Ram, PADU merupakan suatu sistem yang komprehensif bagaimanapun Akta Perlindungan Data Peribadi sedia ada mempunyai skop tersendiri yang terhad.
“Rakyat mesti tahu bahawa tiada Rangka Kerja Perundangan Komprehensif yang melindungi data yang dikumpul. Akta Perlindungan Data Peribadi hanya mempunyai skop tersendiri yang terhad.
“Boleh jadi terdapat pihak yang cuba melanggar peraturan (breach) dan penyalahgunaan. Dalam niat untuk membantu orang yang susah, pada masa yang sama anda juga mendedahkan mereka kepada risiko yang begitu besar dan ini bukan perkara kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Dalam hal ini, beliau menyarankan agar Malaysia merujuk negara luar seperti United Kingdom yang mempunyai Peraturan Perlindungan Data Umum United Kingdom (UKGDPR).
Jelasnya, peraturan tersebut adalah cukup komprehensif yang mana ia melindungi kedua-dua data peribadi dan umum (private and public), pengumpulan dan perlindungan data komersial.
Tambahnya lagi, apa yang perlu dilakukan adalah kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah dana, dan kerajaan Sarawak akan tahu bagaimana cara untuk melaksanakannya.
“Dengan Sarawak, kita membentuk Malaysia tetapi kita tidak boleh hanya menuruti (subjugated) sahaja perkara ini dan mendedahkan rakyat Sarawak kepada risiko penyalahgunaan atau sebarang pelanggaran kepada data ini, ia boleh digodam.
“Pentagon pun boleh digodam, jadi siapa yang mengatakan bahawa ini (PADU) adalah sempurna. Jadi dengan hormatnya saya mengatakan bahawa kajian ini haruslah sangat-sangat tepat,” ujarnya lagi. – TVS