PUTRAJAYA, 29 Mac: Cadangan yang diberikan oleh pembangkang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung pemberian peruntukan di kawasan masing – masing kini sedang diteliti oleh kerajaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.
“Memang tidak ada draf yang dinyatakan namun beberapa cadangan (diberikan pembangkang) kita (kerajaan) olah dan teliti.
“Langkah seterusnya kita akan bawa beberapa cadangan kepada Majlis Pimpinan Kerajaan Madani yang melibatkan ketua – ketua parti komponen,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Ramadan di sini hari ini.
Sempena CSR itu, lebih 1,500 pek bungkusan makanan diedarkan kepada orang ramai.
Sebelum ini Fadillah mengesahkan pertemuan beliau dengan pembangkang namun menafikan wujud draft perjanjian baharu melibatkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Mengulas lanjut, Fahmi berata, sekiranya perbincangan dengan pembangkang berjalan lancar, perkara itu akan dibawa semula kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan. -TVS