JAKARTA, 29 Mac: Kerajaan Indonesia julung kali menghantar bantuan melalui airdrop atau guguran udara ke Palestin dengan pesawat C-130 milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang berlepas petang tadi dari Lapangan Terbang Tentera Halim Perdana Kusuma di sini.
Terdapat 900 payung terjun dan 50 set peralatan dengan berat maksimum 14 tan yang akan dijatuhkan dalam misi ‘airdrop’ pertama itu.
Panglima TNI Agus Sudibyo yang turut serta dalam misi itu berkata, misi kali ini merupakan langkah Kerajaan Indonesia memberi bantuan kepada Palestin.
“Penyampaian bantuan melalui airdrop adalah satu bentuk tindak balas pantas kerajaan memandangkan segala dinamik yang berlaku dan dalam konteks penglibatan kemanusiaan di kawasan konflik,” katanya.
Beliau turut menyebut bahawa operasi ini telah mengambil kira syarat dan masa yang agak lama untuk diputuskan.
Bagaimanapun, misi itu akan berlangsung kira-kira 10 hari dengan 27 pegawai TNI yang akan terbang ke Jordan.
Indonesia sebelum ini telah menghantar bantuan logistik sebanyak dua kali pada peringkat awal, kemudian kapal hospital, dan kali ini merupakan bantuan’ airdrop’ pertama ke Palestin.
Agus turut menegaskan inisiatif ini merupakan salah satu usaha konsisten Indonesia untuk menyokong rakyat Palestin di tengah-tengah kemusnahan besar dan kekurangan bekalan asas. -TVS