PUTRAJAYA, 29 Mac: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan tambahan yang menyukarkan aktiviti penggodaman.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau yakin terhadap sistem itu dan menyangkal dakwaan PADU dibangunkan menggunakan kaedah lapuk.
“Saya lihat tidak ada masalah kerana data yang disimpan dalam sistem PADU sulit untuk diakses.
“Sekiranya berlaku tindakan mencuri data itu, pencuri data tidak boleh membuka data tersebut,” katanya kepada pemberita selepas hadir program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Ramadan di sini hari ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat baru – baru ini mendedahkan pihaknya mengesan lebih dua juta cubaan untuk mengodam PADU pada awal pelancarannya namun semuanya berjaya dipatahkan dan sistem berkenaan juga mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
Sementara itu Fahmi berkata, pembangunan sistem PADU juga melibatkan kerjasama agensi-agensi keselamatan siber kerajaan seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia (CSM).
Fahmi menambah beliau juga telah mendaftar sistem berkenaan untuk dirinya dan keluarga.
“Insya-Allah ia selamat, kalau tidak saya tidak daftar,” tambahnya. TVS