KUCHING, 28 Mac: Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan 60 peratus umat Islam di Sarawak merupakan pendeposit Tabung Haji menjelang akhir 2024.
Pengarah TH Wilayah Sabah Sarawak Datuk Nurlaila Said berkata, setakat ini Sarawak mencatatkan sekitar 325,000 pendeposit sahaja di seluruh negeri.
“Kalau di Malaysia, pendeposit kita sebanyak 9.1 juta manakala di Sarawak sebanyak 40 peratus daripada populasi muslim bermakna 325,000 pendeposit.
“Jadi berbaki lagi 60 peratus untuk pihak kami mencapai kepada aspirasi 100 peratus pendeposit Tabung Haji dan kita mohon untuk mendapat dokongan daripada Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui oleh pemberita selepas mengadakan kunjung hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di balai mengadap Astana Negeri Sarawak pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, Laila turut menjemput Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri sebagai tetamu kehormat bagi menyempurnakan Kursus Perdana Tabung Haji Sarawak di UNIMAS.
“Alhamdulillah salah satu lagi matlamat kami hadir juga untuk menyampaikan jemputan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi untuk Progam Khusus Perdana Tabung Haji Sarawak yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 April nanti,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah Negeri Lembaga Tabung Haji, Amat Kassim Pait. – TVS