KUCHING, 28 Mac: Kerja-kerja pembinaan projek Wisma Melayu Sarawak kini mencapai kemajuanĀ 33 peratus, mendahului 55 hari lebih awal daripada jadual asalnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata prestasi ditunjukkan kontraktor bagi pembinaan dewan tersebut adalah membanggakan serta berharap ia dapat siap pada 7 Mei 2025.
“Bangunan Wisma Melayu ini mengandungi satu dewan yang agak besar juga boleh memuat kurang lebih 2,500 dan kita mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi 260 semuanya,” katanya semasa sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak berkenaan, hari ini.
Walaupun kos bagi pembinaan Wisma Melayu Sarawak ini turut mengalami peningkatan akibat kenaikan harga peralatan pembinaan selain beberapa ubahsuai lain yang dibuat namun ia dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
Pembinaan Wisma Melayu Sarawak itu yang merupakan sebuah mercu tanda Melayu Sarawak diilhamkan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem selaku mantan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) AKYBMS.
Majlis pecah tanah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Disember 2020 dan pembinaannya bermula pada 8 November 2022. – TVS