KOTA SAMARAHAN, 28 Mac: Pangkalan Data Utama (PADU) tidak seharusnya mengumpul terlalu banyak maklumat yang tidak relevan, contohnya berkaitan kewangan rakyat, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, maklumat yang tiada hubung kait dengan kedudukan kewangan tidak munasabah untuk didedahkan kerana ia termaktub dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kebebasan dan Akta Perlindungan Peribadi 2010.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan Sarawak tetap menyokong objektif inisiatif kerajaan Persekutuan dalam pengagihan bantuan serta subsidi bersasar.
Kementerian Ekonomi akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu penangguhan pendaftaran PADU di Sarawak.
“Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) nak lebih tahu (mengapa) kita minta ditangguhkan kerana ia meminta maklumat-maklumat lain, khususnya di sudut privasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttawin di sini, malam tadi.
Rafizi serta barisan pegawainya mengesahkan akan berkunjung ke Kuching pada minggu depan.
Abang Johari berkata, Kementerian Ekonomi pernah berbincang dengan kerajaan Sarawak mengenai maklumat yang diperlukan PADU sebelum ini.
“Rakyat kita sudah mengisi borang melalui Pejabat Residen, Pejabat Daerah serta ketua masyarakat dan kita bantu salurkan maklumat yang dikehendaki oleh Kementerian Ekonomi.
“Tetapi apabila borang (PADU) keluar, nampaknya terlalu banyak sangat pula maklumat peribadi dikehendaki termasuk ada juga yang membabitkan keluarga yang tidak sepatutnya didedahkan,” katanya.