KUCHING, 28 Mac: Program Kembara Sarawak Bertadarus harus dikembangkan ke bahagian lain agar dapat memupuk semangat cinta pada al-Quran dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata program sebegini juga merupakan salah satu usaha dalam menegakkan syiar Islam.
“Inisiatif Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dalam mengadakan program sebegini amat dialu-alukan dan perlu dijadikan sebagai contoh oleh semua jabatan dan agensi.
“Oleh itu saya berharap program sebegini tidak akan terhenti setakat ini sahaja dan akan diteruskan di masa akan datang,” katanya menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Hasbi mewakili Awang Tengah bagi menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Kembara Sarawak Bertadarus 2024 di Masjid al-Ghazali di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah LPB, Dato Sharkawi Alis, Pengurus Besar LPB, Mizool Amir Mat Drus dan wakil daripada JAIS serta Masjid al-Ghazali.
Pada majlis tersebut juga, seramai 30 golongan asnaf menerima bantuan ihsan tunai serta senaskhah al-Quran untuk tujuan pembelajaran dan amal.
“Adalah wajar dan menjadi tanggungjawab sosial korporat mana-mana agensi di Sarawak untuk terus menyantuni golongan yang memerlukan terutamanya semasa Ramadan.
“Oleh itu, saya harap kerjasama erat antara agensi seperti yang kita lihat kali ini antara LPB dan juga Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dapat menjadi budaya yang perlu diteruskan tanpa mengira jenis majlis atau keramaian,” katanya.