KUALA LUMPUR, 28 Mac: Malaysia dan China bersedia memainkan peranan lebih besar untuk memimpin serta mempromosikan ekonomi hijau termasuk dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kedua-dua negara juga komited ke arah kelestarian alam sekitar sebagai komponen penting dalam agenda pembangunan.
Jelas beliau, ini selari dengan keperluan mendesak bagi menangani perubahan iklim dengan mengurangkan perlepasan karbon.
“Malaysia sedang rancak untuk menjalankan pelaburan sumber tenaga boleh diperbaharui dalam semua sektor ekonomi.
“(Sehubungan itu) Malaysia dan China bersedia supaya kita boleh beralih ke arah ekonomi rendah karbon dan komited untuk melabur dalam teknologi tenaga seperti solar, angin dan hidroelektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Laluan Sutera dan Tamadun Asia 2024 di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China, Liu Jianchao serta Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dengan mengutamakan inovasi dan pembangunan mampan dalam sektor tenaga, Malaysia dan China dapat memainkan peranan besar untuk kelestarian sejagat.
“(Kita) bukan sahaja menyumbang kepada usaha global untuk memerangi perubahan iklim malah untuk membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran,” katanya.
Tambah Fadillah, masih banyak yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan China secara bersama termasuk dalam industri baharu yang perlu diterokai, menjalinkan kerjasama dan mengenal pasti semua peluang yang saling menguntungkan.
Forum berkenaan dianjurkan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China. -TVS