KUALA LUMPUR, 28 Mac: Kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta diperlukan bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada golongan belia di Betong yang berminat untuk terlibat dalam bidang pertanian.
Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata, ini selari dengan hasrat Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mahukan kawasan itu menjadi hab pengeluaran makanan.
“Di pihak kerajaan pula, kita akan membantu penduduk untuk menjadi pengeluar dalam rantaian bekalan.
“Sekiranya ada syarikat yang mempunyai rantaian bekalan yang lengkap di huluan seperti pengeluaran biji benih, teknologi dan logistik untuk memasarkan produk di luar Sarawak yang sudah tentu akan memanfaatkan pekebun kecil, kerajaan juga akan bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS di Bangunan Parlimen baru – baru ini.
Sementara itu, Richard memberitahu, Kerajaan Sarawak juga sedang menyediakan kemudahan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong Betong muncul sebagai kawasan pertanian berskala besar.
Ini katanya berdasarkan perancangan untuk membina lapangan terbang landasan pendek (STOLport) untuk memasarkan hasil pertanian dan produk setempat.
“Penduduk tidak perlu risau kerana mereka akan dapat menjual hasil pertanian dengan adanya kemudahan STOLport,” katanya. -TVS