KUCHING, 28 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis Methamphetamine seberat 24.4 kilogram (kg) yang diterbangkan dari Semenanjung ke sini pada Jumaat lepas.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata dadah tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) daripada Shah Alam, Selangor pada 18 Mac lepas.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas dua bungkusan tersebut telah membawa kepada penemuan ketulan kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan nilai pasaran lebih kurang RM872,000 yang dibungkus dengan plastik lutsinar dan dimasukkan ke dalam bungkusan makanan haiwan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Merujuk kepada nota penghantaran pada bungkusan tersebut, Norizan mendedahkan dadah itu dihantar kepada seorang wanita yang beralamat di sebuah apartment di Taman Stapok, Kuching.
“Penerima enggan menerima bungkusan di lokasi alamat yang tertera pada nota penghantaran dan sebaliknya meminta untuk membuat tuntuan melalui kaunter syarikat kurier berkenaan.
“Intipan dan penyamaran telah dilakukan selama empat hari di kaunter syarikat kurier namun tiada individu yang tampil untuk membuat tuntutan,” ujarnya.
Berdasarkan jumlah berat dadah tersebut, dianggarkan seramai lebih 120,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup serta sebatan.
Untuk rekod, sebanyak 138.7 kg dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM4.37 juta telah dirampas JKDM Sarawak bagi tempoh Januari hingga 22 Mac 2024. – TVS