KUCHING, 28 Mac: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadualkan akan melakukan lawatan kerja ke loji tenaga yang dijana melalui kayu palet di United Kingdom (UK) April depan dalam usaha membolehkan negeri ini melangkah setapak lagi ke hadapan melalui penghasilan tenaga menggunakan sumber itu.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, fasiliti yang akan dilawati Abang Johari itu adalah Drax Power Station yang terletak kira-kira 45 minit dari bandar Leeds.
“Jangan hanya bergantung kepada eksport kayu balak atau produk utama seperti papan lapis sahaja.
“Eksport boleh diteruskan, namun kita perlu melangkah maju ke hadapan dengan mengambil inisiatif menghasilkan produk kayu yang mempunyai nilai tambah seperti kayu palet dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Sumbangan Derma Tahunan PUSAKA dan Anak-anak Syarikat 2024 di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Awang Tengah menyampaikan sumbangan RM337,000 kepada 65 pertubuhan kebajikan, badan-badan amal, agama dan pendidikan di negeri ini.
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, industri perkayuan di negeri ini perlu bergerak maju ke hadapan selari dengan peredaran masa bagi memastikan ia terus kompetitif.
“Bagi meningkat dan membangunkan industri perkayuan, mereka (pemain industri) perlu bergerak ke hadapan dengan tidak boleh terlalu bergantung kepada kaedah konvesional.
“Mereka perlu lebihkan kepada pengeluaran produk kayu bernilai tinggi seperti kayu palet yang mempunyai pasaran besar dengan ia sudah pun dieksport oleh Sarawak ke negara luar,antaranya Jepun, Korea dan Perancis,” katanya.
Kata Awang Tengah, Kerajaan Sarawak memberi penekanan terhadap sektor perkayuan susulan ia merupakan salah satu komponen penting dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030). – TVS