KUALA LUMPUR, 27 Mac: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber akan memberi punca kuasa perundangan yang jelas kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk mengurus dan menangani ancaman jenayah siber di Malaysia.
Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata, RUU berkenaan juga penting untuk menyelaras dan memperkukuh pengurusan keselamatan siber negara.
Jelas beliau, Malaysia ketika ini hanya memiliki pekeliling am dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai keselamatan siber yang bersifat administratif dan hanya terpakai untuk agensi kerajaan.
“Kita perlu sesuatu kuasa yang bersifat legislatif supaya tindakan dan arahan berhubung keselamatan siber mengikat semua agensi kerajaan dan syarikat swasta, khususnya yang dikategorikan sebagai Infrastruktur Maklumat Nasional Kritikal (NCII),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, merujuk kepada Bahagian II, Fasal 5, berhubung Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara, Richard mencadangkan supaya jawatankuasa berkenaan terdiri dari Menteri yang dipertanggungjawab dengan perkara berkaitan ekonomi kerana dalam infrastruktur maklumat kritikal negara juga disebutkan elemen ekonomi.
“Ini kerana data-data yang diperoleh juga turut disimpan oleh agensi seperti Jabatan Perangkaan dan Kementerian Ekonomi yang menyelia pangkalan data seperti Pangkalan Data Utama (PADU) terkait dengan keselamatan yang mana jika berlaku ancaman keselamatan siber boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, penggubalan berkenaan juga amat penting kerana terdapat beberapa kelompongan dalam akta sedia ada yang membuka ruang untuk jenayah siber berleluasa.
“Umpamanya Akta Perlindungan Peribadi 2010, sekarang ini ada perkara melibatkan selain transaksi komersial yang tidak diambil kira, itu salah satu saya maksudkan kelompongan,” katanya. -TVS